Menukar Ihram daripada Haji kepada Umrah atau Sebaliknya

Soalan: Adakah dibenarkan bagi seseorang menukar ihramnya daripada ihram umrah kepada ihram haji atau sebaliknya?

Jawapan:

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

Secara asasnya, menukar niat ihram daripada umrah kepada haji atau sebaliknya adalah tidak dibenarkan menurut pandangan jumhur al-fuqaha’ (majoriti ulama). Namun, terdapat situasi tertentu dan pandangan mazhab yang membenarkan perbuatan tersebut.

Pandangan Mazhab dan Dalil:

Dalam mazhab Hanbali, haji dengan kaedah tamatttu’ dianggap paling afdhal (utama). Oleh itu, mereka menyarankan menukar ihram haji kepada ihram umrah bagi mencapai haji tamatttu’. Ini berdasarkan hadis daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seandainya aku tidak membawa haiwan korban (hadyu), pasti aku akan melakukan seperti yang aku perintahkan kepada kalian.”

— Hadis Riwayat al-Bukhari

Berdasarkan hadis ini, jika seseorang telah berihram haji dengan niat melaksanakan haji secara ifrad atau berihram haji dan umrah secara qiran, disunatkan baginya menukar kepada ihram umrah untuk melaksanakan haji tamatttu’. Ini kerana haji tamatttu’ dianggap lebih afdhal dalam pandangan mereka.

Ihram Mutlak:

Jika seseorang berihram secara mutlak—iaitu tanpa menentukan sama ada untuk haji atau umrah—dia dibenarkan menentukan jenis ihramnya selepas itu. Sama ada memilih haji, umrah, atau kedua-duanya. Pengharusan ini disepakati oleh empat mazhab utama: Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali.

Kesimpulan:

  1. Jumhur ulama berpendapat bahawa menukar ihram haji kepada umrah atau sebaliknya tidak dibenarkan.
  2. Mazhab Hanbali membenarkan, malah menyunatkan, penukaran kepada yang lebih afdhal.
  3. Semua mazhab utama sepakat bahawa jika niat ihram pada awalnya adalah secara mutlak, penentuan jenis ihram selepas itu adalah dibenarkan.

والله أعلم

“Ambil lah dariku Manasik kamu”

Dr. Abdul Hadi bin Abdul Raman 

(DAHAR)

Leave a Comment